Pada tarikh dan hari yang sama (21 Mei 2011) rakan-rakan leonairats bergembira bertemu di rumah saudara Najib, dua orang sahabat kita berdepan dengan dugaan yang maha hebat nya dan mungkin paling besar buat mereka.
LUQMAN ISMAIL:
Saya seperti biasa terpanggil untuk menatap kedai kopi leonairats usai sudah perjumpaan bersama rakan-rakan leonairats di rumah saudara Najib. terkejut. terpana. terdiam. kelu tatkala membaca post ditulis saudara Shah Izzat. ibunda tercinta saudara Luqman Ismail kembali ke rahmatullah pada tengah malam 21 Mei 2011 dan dikhabarkan dikebumikan sejurus selepas waktu zohor hari yang sama.
Alhamdulillah. tidak putus-putus ucapan takziah ditulis oleh rakan-rakan leonairats bagi menunjukkan rasa simpati dan berkongsi kesedihan bersama saudara Luqman. tidak kurang yang menghadiahkan pahala bacaan ummul kitab kepada allahyarhamah. sekiranya ada yang berhubung melalui mesej mahupun panggilan telefon itu adalah yang sebaiknya. beliau sangat2 memerlukan sokongan moral. sehingga saat entry ini ditulis, saya masih tidak dapat 'access' facebook saudara Luqman. mungkin buat sementara waktu, beliau tidak ingin diganggu dan buat rakan-rakan yang masih dan dapat menghubungi beliau, saya harapkan kongsi lah bersama kami yang lain tentang keadaan Luqman. kami juga ambil berat.
MEOR AGIL:
Saudara kita ini mungkin lebih tabah dan masih mampu menulis post tentang pemergian nenek beliau yang tersayang buat selama-lamanya. ia juga terjadi pada hari dan tarikh yang sama seperti diceritakan sebelum ini.
Rakan-rakan leonairats yang lain tetap tidak putus harapan mengucapkan takziah dan menyedekahkan pahala bacaan al-fatihah buat allahyarhamah nenek kepada saudara Meor. alhamdulillah. mulia sungguh pekerti rakan-rakan leonairats sekalian.
Jadi, saya merayu kepada rakan-rakan sekalian apalah kira nya untuk kita sama-sama sekali lagi menadah tangan menghadiahkan pahala bacaan ummul kitab kepada pertama nya ibunda Luqman Ismail dan kedua nya kepada nenenda Meor Agil.
Sebentar.
Saya teringat kata-kata salah seorang rakan kita yang boleh saya simpulkan seperti ini:
"ko rasa kan, berapa ramai antara budak2 ni yang tulis 'al-fatihah',
betul2 baca al-fatihah tu? aku rasa ada yang main tulis je. tak baca
apa2 pun."
MasyaAllah. saya terdiam. benar. tepat sekali apa yang dikatakan beliau. jadi, dalam entry dan ruangan kali ini, saya berharap rakan-rakan sekalian, marilah sama-sama kita berhenti sebentar dari terus membaca post ini, sebaliknya bacalah surah pertama dalam Al-Quran ini dengan niat seperti yang saya katakan sebelum ini. InsyaAllah, bukan sahaja kedua-dua allahyarhamah mendapat pahala juga buat kita yang membacanya. Al-fatihah..
Aminnn..terima kasih rakan-rakan leonairats sekalian.
Tidakkah rakan-rakan sekalian berasa aneh dan pelik dengan tajuk entry kali ini? apakah kaitan nya cerita si penggali kubur dengan cerita sedih yang saya ceritakan sebentar tadi? ada kaitan nya.
Diceritakan kepadaku oleh datukku yang suatu ketika dahulu pernah mengangkat cangkul menggali tanah menanam saudara-saudara seIslamku. Cerita ini disampaikan waktu ku melawat nya di Putrajaya.
Khusyuk datukku mendengar kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz di sebuah surau di Johor Bahru, katanya arwah-arwah ini punya alam mereka sendiri. mereka mampu bersalam, bertegur sapa, bertepuk tampar mungkin sesama mereka. suatu hari, menegur akan arwah A kepada arwah B:
"apakah yang sedang kalian cari dan lakukan?"
Terlihat arwah A akan arwah B dan rakan-rakan sedang mencarik-carik sesuatu di tanah. berebutlah mereka akan sesuatu yang arwah A sendiri tidak pasti akan apakah sebenar nya yang direbutkan. seperti sesuatu yang sangat-sangat penting dan diinginkan oleh sekalian mereka. lalu dijawablah oleh arwah B:
"kau tidak tahu apa yang kami rebutkan?"
"tidak." jawab arwah A.
"yang kami carik dan rebutkan itulah sebenarnya pahala
sedekah surah al-fatihah hadiah dari mereka yang lalu
di tanah perkuburan ini."
"mengapa kau masih mampu berdiri seolah-olah kau
tidak perlukan pahala ini wahai saudaraku?" tempelak arwah B.
Arwah A hanya mampu tersenyum. dijawabnya:
"aku tidak perlukan itu semua. doa dari anak-anakku yang
soleh tidak pernah putus untuk aku."
Usai sudah cerita si penggali kubur. aku diam seribu bahasa. menyanjung tinggi si tua di hadapanku ketika itu. senyap tanpa kata. dia senyum. SubhanAllah.
Dapatkah rakan-rakan leonairats simpulkan apa kaitan nya tajuk entry kali ini dengan berita yang saya sampaikan di atas? kalau masih belum, saya selitkan bersama sepotong hadis:
daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah segala amalannya,
melainkan tiga perkara iaitu;
sedekah jariah,
ilmu pengetahuan yang berguna, dan
anak yang baik yang sentiasa mendoakannya."
Selagi mampu rakan-rakan, buat mereka yang sudah kehilangan insan tercinta, sentiasalah doakan mereka walau di mana sekalipun anda berada. buat mereka yang masih punya insan tersayang, hargailah mereka dalam doa-doa kalian. setiap waktu, masa dan ketika. insyaAllah. sehingga ini sahajalah entry saya kali ini. semoga bertemu lagi. salam buat kalian.